Dua orang maut pada Isnin apabila sebuah pesawat Cessna terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Nasional Pachuca di negeri Hidalgo, tengah Mexico, lapor Anadolu memetik Agensi Penerbangan Awam Persekutuan (AFAC) Mexico.
Pesawat Cessna 210 itu, yang dikendalikan oleh Grupo Aeroespacial Avspace, berlepas pada 9.30 pagi waktu tempatan (1530GMT) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Cuernavaca di negeri Morelos, kata AFAC dalam satu hantaran di X.
Pesawat itu terhempas hanya seminit selepas berlepas semasa fasa pendakian awal, ketika ia berada kira-kira 500 meter (1,640 kaki) dari permulaan landasan 21, kata agensi itu, menurut Anadolu.
Menurut maklumat awal, pesawat itu jatuh di Tezontle Avenue di kawasan kejiranan Venta Prieta, Pachuca, ibu negeri Hidalgo.
Nahas itu berlaku di luar kawasan lapangan terbang, di sebuah kawasan kejiranan bandar yang terletak dekat landasan lapangan terbang, menurut laporan awal daripada pihak berkuasa penerbangan.
Kedua-dua individu yang berada di dalam pesawat itu maut, lapor Anadolu.
Cessna 210 ialah pesawat enjin tunggal yang digunakan untuk penerbangan persendirian dan penerbangan am.
