Berita Dunia

  • Semua 69 mangsa nahas tren di Urda, Sepanyol dikenal pasti

    Semua 69 mangsa yang maut dalam perlanggaran tren berkelajuan tinggi di Urda, tengah Sepanyol, minggu lalu dikenal pasti, manakala 29 orang yang cedera masih dirawat di hospital, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor berita Xinhua.

    Pusat Data Bersepadu (CID) Sepanyol mengesahkan angka maut kekal seramai 69 orang, membabitkan 54 warga Sepanyol dan 15 warga asing. Semua mangsa adalah golongan dewasa, merangkumi 40 lelaki dan 29 wanita.

    Mangsa warga asing membabitkan empat rakyat Amerika, dua rakyat Australia, dua rakyat Jepun, serta masing-masing seorang dari Argentina, Kanada, Republik Czech, Perancis, Mexico, Portugal, dan Tunisia.

  • Kumpulan anti-merokok Belanda rancang aduan terhadap Philip Morris

    Sebuah yayasan anti-merokok Belanda merancang untuk memfailkan aduan jenayah terhadap pengeluar tembakau, Philip Morris, berhubung dakwaan penipuan dan pengiklanan yang dilarang membabitkan sistem tembakau dipanaskan, IQOS, menurut berita Anadolu memetik laporan media tempatan pada Isnin.

    Anadolu memetik penyiar Belanda, NOS, bahawa Yayasan Pencegahan Merokok Belia (Youth Smoking Prevention Foundation) menuduh syarikat itu mengelirukan pengguna dengan mempromosikan produk terbabit sebagai kurang berbahaya berbanding rokok konvensional.

    Peguam Benedicte Ficq, yang mewakili yayasan berkenaan, dilapor berkata aduan itu akan dikemukakan kepada Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda pada pertengahan November.

    Ficq berkata, aduan itu juga akan menyasarkan eksekutif syarikat serta saintis yang menyokong dakwaan kesihatan berkaitan produk terbabit.

    “Produk tembakau dipanaskan ini merupakan satu bentuk penipuan baharu,” kata Ficq, seperti dilaporkan.

    “Ia adalah cara baharu untuk memastikan model perniagaan industri tembakau terus bertahan.”

    IQOS memanaskan tembakau dan bukannya membakarnya, lapor Anadolu, menurut NOS, Philip Morris berhujah bahawa sistem ini membebaskan kepekatan bahan toksik yang lebih rendah, justeru kurang berbahaya berbanding amalan merokok konvensional.

    Yayasan itu mempertikaikan dakwaan syarikat itu dengan menegaskan bahawa produk terbabit tetap menyebabkan ketagihan dan mendedahkan pengguna kepada bahan karsinogenik.

    NOS turut memetik kenyataan daripada Institut Kebangsaan bagi Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Belanda yang mengatakan bahawa tembakau dipanaskan bukanlah alternatif yang selamat kepada amalan merokok.

    Beberapa organisasi kesihatan Belanda dilapor menyokong rancangan untuk mengemukakan aduan ini, termasuk Institut Kanser Belanda, Yayasan Jantung, Tabung Paru-paru, dan Persatuan Kanser Belanda, yang dikenali sebagai KWF.

    Sebelum ini, yayasan itu pernah bekerjasama dengan Ficq dalam satu aduan jenayah terhadap Philip Morris pada 2016, yang merangkumi dakwaan cubaan menyebabkan kematian dan cubaan melakukan serangan.

    Kes itu tidak membawa kepada pendakwaan jenayah.

    Ficq berkata, dia percaya aduan baharu ini mempunyai prospek lebih kukuh kerana ia membabitkan produk berbeza serta dakwaan pelanggaran yang pasukannya dokumenkan.

  • 4 dilapor maut pengeboman dekat pangkalan tentera di Colombia

    Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk seorang bayi berusia dua bulan, maut apabila sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan meletup dekat sebuah kemudahan tentera di barat Colombia pada malam Ahad, menurut pihak berkuasa wilayah pada Isnin, lapor berita Anadolu.

    “Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, saya melaporkan bahawa serangan di Planadas telah mengakibatkan angka kematian awal empat orang, termasuk seorang bayi yang baru berusia dua bulan,” kata Gabenor Tolima, Adriana Magali Matiz, menerusi X, menurut Anadolu.

    Dia menyifatkan letupan itu sebagai “tidak boleh diterima” dan menuntut tindakan tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

    Divisyen Kelima tentera Colombia turut mengutuk pengeboman itu, dengan menyifatkannya sebagai satu “tindakan pengganas”.

    Tiada kumpulan bersenjata mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu.

    Wilayah selatan Tolima sudah lama mengalami ketidakstabilan dikaitkan dengan puak pelarian daripada kumpulan “Revolutionary Armed Forces of Colombia” atau lebih dikenali sebagai FARC.

  • Sekurang-kurangnya 7 maut dalam bot migran ke Kepulauan Canary

    Sekurang-kurangnya tujuh orang maut di atas sebuah bot migran yang dalam perjalanan ke Kepulauan Canary, Sepanyol, menurut berita Anadolu memetik laporan agensi berita Sepanyol EFE pada Isnin, memetik perkhidmatan menyelamat maritim negara itu.

    Pasukan penyelamat dilapor tiba di bot terbabit pada awal pagi Isnin, kira-kira 150 kilometer (93 batu) di timur laut Arrecife, ibu kota Lanzarote — terdapat hampir 140 orang di atas bot itu.

    Dilaporkan dua mayat masih berada di atas bot terbabit — mereka yang terselamat berkata lima mayat lain telah dicampakkan ke dalam Lautan Atlantik semasa pelayaran itu.

    Tiga bot lain yang membawa seramai 132 orang telah tiba di Arrecife pada awal pagi Isnin, menurut berita Anadolu memetik laporan penyiar Cadena SER, memetik pusat penyelarasan kecemasan Kepulauan Canary.

    Ketibaan melalui laut di Kepulauan Canary meningkat sebanyak 285% pada Oktober berbanding bulan yang sama tahun lalu, lapor Anadolu memetik Cadena SER, memetik kerajaan wilayah.

    Walau bagaimanapun, bagi tempoh yang lebih panjang dari 1 Januari hingga 15 Oktober, jumlah ketibaan mencatatkan penurunan sebanyak 33.5% berbanding tahun sebelumnya. Kementerian Dalam Negeri Sepanyol merekodkan seramai 8,970 orang tiba melalui laut di Kepulauan Canary dalam tempoh itu, berbanding 13,491 orang pada tahun sebelumnya.

  • 5 maut dalam keganasan baharu di Manipur, India

    Lima orang maut dalam keganasan etnik baharu di negeri Manipur, India, menurut pihak berkuasa, berita Anadolu melaporkan.

    Keganasan baharu ini berlaku dalam dua insiden berasingan di kawasan Kangpokpi dan Noney di negeri itu, lapor Anadolu memetik pihak berkuasa dan media tempatan.

    Polis Manipur dilapor berkata dalam kenyataan bahawa dua orang dilaporkan hilang dari kampung Taphou Kuki di pekan Kangpokpi pada 28 Oktober dan pada Ahad, semasa operasi mencari dijalankan, pasukan gabungan menemui dua mayat.

    Pada Isnin, berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan di daerah Kangpokpi, Manipur. Anggota keselamatan terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan baton untuk menyuraikan peserta demonstrasi yang mengadakan protes sejak Ahad, lapor Anadolu memetik Press Trust of India.

    Dalam satu insiden berasingan, dilaporkan tiga lelaki maut dalam kejadian berbalas tembak di kampung Kekru Naga, daerah Noney.

    Manipur mempunyai sejarah keganasan antara kaum dan etnik, insiden terbaharu berlaku pada 2023 membabitkan komuniti Meitei dan Kuki, lapor Anadolu, pertembungan itu mengorbankan lebih 250 orang dan menjejaskan ribuan yang lain.

  • Berbilang dilapor maut atau cedera dalam tembakan dekat pantai di California

    Berbilang orang maut atau cedera dalam satu kejadian tembakan dekat Moss Landing State Beach di California pada awal Isnin, menurut berita Anadolu memetik laporab media tempatan, memetik Pejabat Syerif Monterey County.

    Tembakan itu berlaku sejurus selepas tengah malam di jalan menuju ke pantai di Monterey County, yang terletak di sepanjang pantai tengah California di selatan San Francisco, Anadolu memetik penyiar tempatan ABC7.

    Polis Taman Negeri California (California State Parks Police) telah menutup jalan dan pantai berkenaan sementara pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap insiden itu.