Sebuah yayasan anti-merokok Belanda merancang untuk memfailkan aduan jenayah terhadap pengeluar tembakau, Philip Morris, berhubung dakwaan penipuan dan pengiklanan yang dilarang membabitkan sistem tembakau dipanaskan, IQOS, menurut berita Anadolu memetik laporan media tempatan pada Isnin.
Anadolu memetik penyiar Belanda, NOS, bahawa Yayasan Pencegahan Merokok Belia (Youth Smoking Prevention Foundation) menuduh syarikat itu mengelirukan pengguna dengan mempromosikan produk terbabit sebagai kurang berbahaya berbanding rokok konvensional.
Peguam Benedicte Ficq, yang mewakili yayasan berkenaan, dilapor berkata aduan itu akan dikemukakan kepada Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda pada pertengahan November.
Ficq berkata, aduan itu juga akan menyasarkan eksekutif syarikat serta saintis yang menyokong dakwaan kesihatan berkaitan produk terbabit.
“Produk tembakau dipanaskan ini merupakan satu bentuk penipuan baharu,” kata Ficq, seperti dilaporkan.
“Ia adalah cara baharu untuk memastikan model perniagaan industri tembakau terus bertahan.”
IQOS memanaskan tembakau dan bukannya membakarnya, lapor Anadolu, menurut NOS, Philip Morris berhujah bahawa sistem ini membebaskan kepekatan bahan toksik yang lebih rendah, justeru kurang berbahaya berbanding amalan merokok konvensional.
Yayasan itu mempertikaikan dakwaan syarikat itu dengan menegaskan bahawa produk terbabit tetap menyebabkan ketagihan dan mendedahkan pengguna kepada bahan karsinogenik.
NOS turut memetik kenyataan daripada Institut Kebangsaan bagi Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Belanda yang mengatakan bahawa tembakau dipanaskan bukanlah alternatif yang selamat kepada amalan merokok.
Beberapa organisasi kesihatan Belanda dilapor menyokong rancangan untuk mengemukakan aduan ini, termasuk Institut Kanser Belanda, Yayasan Jantung, Tabung Paru-paru, dan Persatuan Kanser Belanda, yang dikenali sebagai KWF.
Sebelum ini, yayasan itu pernah bekerjasama dengan Ficq dalam satu aduan jenayah terhadap Philip Morris pada 2016, yang merangkumi dakwaan cubaan menyebabkan kematian dan cubaan melakukan serangan.
Kes itu tidak membawa kepada pendakwaan jenayah.
Ficq berkata, dia percaya aduan baharu ini mempunyai prospek lebih kukuh kerana ia membabitkan produk berbeza serta dakwaan pelanggaran yang pasukannya dokumenkan.
