Semua 69 mangsa nahas tren di Urda, Sepanyol dikenal pasti
Semua 69 mangsa yang maut dalam perlanggaran tren berkelajuan tinggi di Urda, tengah Sepanyol, minggu lalu dikenal pasti, manakala 29 orang yang cedera masih dirawat di hospital, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor berita Xinhua.
Pusat Data Bersepadu (CID) Sepanyol mengesahkan angka maut kekal seramai 69 orang, membabitkan 54 warga Sepanyol dan 15 warga asing. Semua mangsa adalah golongan dewasa, merangkumi 40 lelaki dan 29 wanita.
Mangsa warga asing membabitkan empat rakyat Amerika, dua rakyat Australia, dua rakyat Jepun, serta masing-masing seorang dari Argentina, Kanada, Republik Czech, Perancis, Mexico, Portugal, dan Tunisia.
Institut Perubatan Undang-undang dan Sains Forensik Toledo dan Ciudad Real telah melengkapkan proses pengecaman itu. Daripada 69 mangsa, 56 orang dikenal pasti melalui analisis cap jari dijalankan oleh Perkhidmatan Kriminalistik Pengawal Awam, manakala 13 orang lagi dikenal pasti melalui ujian DNA oleh Institut Toksikologi Kebangsaan.
Keluarga semua 69 mangsa telah dimaklumkan mengenai keputusan pengecaman itu, dan pejabat konsular yang berkaitan juga telah dimaklumkan bagi kes membabitkan warga asing.
Sementara itu, kerajaan wilayah Castilla-La Mancha melaporkan bahawa 29 orang yang cedera dalam perlanggaran itu masih dirawat di empat buah hospital; sembilan daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi, manakala 20 orang lagi berada di wad biasa.
Menurut pihak berkuasa kesihatan wilayah, daripada 110 pesakit yang pada mulanya dimasukkan ke enam hospital, 81 orang telah dibenarkan pulang. Sembilan pesakit dipindahkan ke hospital di Madrid—termasuk seorang pada Isnin—manakala seorang lagi dipindahkan ke Andalusia.
Operasi pemulihan di lokasi kejadian menunjukkan kemajuan. Menurut Xinhua, agensi berita Sepanyol, EFE, memetik sumber daripada Pengawal Awam melaporkan semua gerabak daripada dua tren terbabit—yang dikendalikan oleh Iryo dan pengendali kereta api kebangsaan Sepanyol, Renfe—kini dialihkan dari landasan.
Menurut EFE, lapor Xinhua, Pengawal Awam terus melakukan pencarian sisa manusia di lokasi kemalangan, dengan kira-kira 50 pegawai dikerahkan di kawasan terbabit.
