Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 30 yang lain cedera dalam pertempuran antara puak di Lembah Laashimo, utara Somalia minggu lalu, lapor Xinhua memetik Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) mengesahkan pada Isnin.
Pertempuran yang berlaku antara 6 dan 7 Mei itu menyebabkan kira-kira 9,000 orang kehilangan tempat tinggal, 85 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak, menurut laporan situasi UNHCR terkini, lapor Xinhua.
“Skala dan intensiti keganasan itu menimbulkan ketakutan meluas dalam kalangan komuniti pastoral dan meningkatkan risiko perlindungan dengan ketara bagi orang awam. Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan perpindahan selanjutnya,” agensi PBB itu dilapor sebagai berkata.
Keganasan bermula mengenai akses ke tempat air dan tanah ragut, lapor Xinhua memetik UNHCR, sambil menyatakan keadaan kemarau berterusan meningkatkan persaingan mengenai sumber yang terhad dalam kalangan komuniti pastoralis, mencetuskan ketegangan dan konflik dalam kalangan kumpulan nomad.
Xinhua melaporkan, menurut UNHCR, pertempuran terbaru itu juga didorong oleh ketegangan lama tidak dapat diselesaikan yang dikaitkan dengan pembunuhan balas dendam.

